Wednesday, 5 November 2014

Sebuah Perjalanan

"Kerana selepas sesuatu itu berakhir, senyumlah bukan kerana ia telah berakhir tetapi kerana ia sudi hadir menjengah hidup kamu. Dan di sebalik setiap pengakhiran, akan ada permulaan yang baru."

Dia menutup buku nota kecil di tangannya, kemudian membuang pandang ke luar keretapi yang bergerak perlahan-lahan melalui sudut-sudut lama kota ini. Kota ini penuh dengan pelbagai kisah, kota yang dibangunkan dengan kesedihan dan tangisan. Dan mungkin kerana itu juga laluan keretapi lama ini direka untuk melalui sudut-sudut lama di kota ini, supaya rakyatnya tidak lupa atas apa sebuah kota gemilang ini dibina. Bangunan-bangunan lama masih dibiarkan bentuk dan senireka asalnya, juga beberapa kawasan yang dulunya pernah menjadi kawasan pertempuran sewaktu kota ini dicerobohi musuh-musuh yang menakluknya. Kota ini kelihatan usang, namun semakin keretapi ini bergerak menghampiri pusat kota ini kelihatan kemajuan dan pembangunan pesat di sekelilingnya. Bangunan-bangunan pencakar langit, kenderaan yang pelbagai bentuk dan rupa, kedamaian di pinggir kota tadi digantikan dengan bunyi hiruk pikuk kota yang kembali membangun ini. Earphone dikeluarkan dari poket kanan jaketnya, sebelum dipasang pada i-pod di tangannya. Lalu perlahan-lahan dia pejamkan mata, dan tenggelam dalam memori.

If I knew where I was getting
I would let you know
Another feeling's gone
Just another right made wrong
The hardest part is the ending
I guess it's leaving time again

It's the same old city everywhere i go
You'd think by know I'd be getting to know
Guess I should learn how to take a hint
I forgot to tell you about last night
It took so long just to make it right
All these things they change so fast --Velocity Girl, Same Old City.


"Perhentian terakhir, Inizio! Perhentian terakhir, Inizio!"
Dia terpisat-pisat membuka mata, destinasi yang dituju sudah semakin hampir. Dia mengeluarkan sekeping kad pas perjalanan dan juga sebuah peta dari dalam buku nota kecil yang dipegangnya sejak dari tadi. Melangkah perlahan-lahan keluar dari perut keretapi itu, meletakkan pas perjalanan di pintu akses keluar masuk dan berjalan menuju ke arah kaunter pertanyaan. Dan dengan tersenyum dia bertanya pada pegawai yang bertugas, "Untuk ke sini, saya harus melalui jalan mana?" Katanya seraya menunjukkan lambang sebuah kedai kopi yang tak bernama di atas peta. Dia ada telefon bimbit, telefon pintar sebenarnya namun dia lebih selesa menggunakan peta usang yang ada di dalam buku nota milik ibunya ini. Dia nekad, mahu ke kedai kopi yang menjadi tempat pertemuan antara kedua orang tuanya berpuluh tahun dulu. Sewaktu kota ini masih sedang membangun dengan cinta dan kebahagiaan, bukan dengan kesedihan dan tangisan.