Friday, 15 August 2014

Untuk 141 hari lepas, 132 hari lagi dan 350 hari selepas itu.

Aplikasi kalender pada telefon putih itu di lihat berulang kali, dan di dalam kepala dia mula mengira congak hitung hari. Sudah 141 hari. Dan masih berbaki 132 hari lagi, untuk dia dan dia bersama-sama membuka pintu-- menuju ke masa hadapan. Dan selepas itu mereka akan ada lebih kurang 350 hari untuk menuju ke infiniti. Masih banyak rasanya perkara antara mereka yang perlu mereka selesaikan, dan masih banyak perkara yang akan hadir sebagai dugaan. Sabar. Sabar. Sabar. Itu kata-kata yang seringkali mereka ulang, hampir setiap hari apabila dada mulai sesak dengan rindu. Namun di dalam sesak itu mereka jumpa nafas baru, untuk terus melangkah meniti setiap hari baru.

Adiksi, 
Terima kasih untuk 141 hari lepas dan untuk masa depan,
Terima kasih kerana masih yakin dan percaya,
Terima kasih untuk semua bahagia,
Terima kasih kerana sudi melangkah bersama harungi dugaan,
Terima kasih, terima kasih, terima kasih.


Wednesday, 6 August 2014

Ada Apa Dengan Kita?

Saat mata coklat milik kamu bertemu pandang mata coklat milik aku, ada satu perasaan yang lahir dan dari situ kisah kita bermula-- sebenarnya. Hujan petang itu, sepertinya membasuh setiap satu cerita kita waktu dulu. Perlahan-lahan satu-persatu kisah silam kita terbasuh oleh hujan, lalu kita saling berpandangan. Aku tersenyum setiap kali pandangan kita bertemu, dan tanpa sedar waktu itu hati kita perlahan-lahan mulai bersatu. Seolah-olah kita adalah dua manusia yang pernah menjadi satu, namun dipisahkan oleh waktu. Kerana sebetulnya kita selalu melalui jalan-jalan yang hampir serupa, melihat perkara-perkara yang hampir sama, juga berbicara dengan malam yang dipenuhi neon-neon menerangi gelita. Bulan, bintang dan lampu-lampu di jalanan. Serta secawan kopi yang menjadi adiksi, semuanya kita lalui bersama (sebenarnya) cuma pada waktu, situasi dan tempat yang berbeza. Apa kau yang sebenarnya aku tunggu? Apa kau yang sebenarnya aku cari selama ini? Dan adakah aku ini yang sebenarnya kau nanti? Adakah aku yang selama ini kau mimpi?

Sudah seratus beberapa puluh hari berlalu sejak dari pertemuan kita yang pertama dahulu. Aku sudah hilang kiraan waktu, kerana aku terlalu sibuk memikirkan kamu. Rindu sepertinya hujan yang turun lewat petang pertemuan kita itu, kerana aku sudah hilang kiraan sebanyak mana kau aku rindukan. Dan bila pada satu hari kau menulis dan bertanya "Ada apa dengan kita?", jawapannya ada pada kita berdua. Dan hanya kita berdua tahu, apa yang kita berdua mahu. Kita tak perlukan telepati, ataupun kuasa luarbiasa untuk saling memahami. Cukup dengan kehadiran dan kehangatan sentuhan kamu, cukup dengan tahu kau ada buat aku, itu sudah cukup buat aku tenang dan bahagia sayang. Jadi, ada apa dengan kita? Kita punya seumur usia untuk saling terus jatuh cinta. Kita punya "rumah" untuk perasaan-perasaan kita pulang. Kita punya infiniti sayang, dan yang di sebaliknya. Kita ada aku dan kamu.

"Masakan aku bisa menyintai kamu dengan sederhana, kerana kita berdua ini sungguh luarbiasa. " -ARMZ, 2014.