Monday, 21 July 2014

Ayuh pulang, sayang.

Kesunyian itu sepertinya mampu menjadi pembunuh bersiri yang tidak akan pernah di jatuhkan hukuman mati. Iya benar, kerana sunyi itu akan hadir saat kau bersendirian lalu perlahan-lahan ia menjerut kau dengan perhatian dan kenangan. Sebelum biarkan kau mati kelemasan dan ia berlalu pergi dengan senyuman. Dan kau tertinggal di dalam sudut bilik kecil itu sendirian, mengira-hitung waktu saat bila jasad kau akan ditemukan. Nafas semakin sesak-- lalu kau bakarkan sebatang rokok supaya yang menyesakkan kau adalah rokok bukan perasaan. Telefon di tepi kau pandang sepi, entah sudah berapa lama ia diam tanpa notifikasi. Baru beberapa jam, atau lebih tepat lagi baru 1 jam 45 minit lalu kau punya sebuah perbualan singkat yang padat. Tapi saat ini kau rasa sunyi, atau lebih tepat lagi ia adalah rindu.

Rindu.

Kerana akhirnya kau tahu.
Kerana akhirnya kau mahu tahu.
Kerana akhirnya kau sudah tahu.

Bahawa kalian itu dulu-- adalah cerita-cerita yang tak pernah di sampaikan,
Rindu-rindu yang mencari jalan pulang di sebalik setiap kesunyian,
Perasaan-perasaan yang tak punya "rumah" untuk di simpan,
Serta dua manusia yang saling mencari masa depan.

Satu persatu cerita sejak seratus enam belas hari yang lepas dimainkan dalam bentuk ulang tayang visual, lisan juga perasaan. Dan sebenarnya kisah kalian bukan bermula sejak dari waktu itu, tetapi kebetulan yang sememangnya kebetulan seharusnya menemukan kalian lebih awal. Tetapi cerita Tuhan, sudah Dia rencanakan. Kerana kita selalu menuliskan cerita-cerita yang kita mahu, tetapi Tuhan menuliskan cerita-cerita yang kita perlu. Ada yang berlari jauh, ada yang mengejar jatuh. Kita masih terus di situ, saling menikmati kopi kegemaran berdua, melawan dunia. Kerana ada yang suka lemas dalam andaian, meskipun kita sering buka ruang untuk pertanyaan. Biarkan-- katamu. Dan aku terus tenang dan senyum, melihat kita di dalam "kita". 

Akhirnya, kita sudah punya "rumah" untuk semua perasaan-perasaan kita pulang. 

No comments: