Monday, 21 July 2014

Ayuh pulang, sayang.

Kesunyian itu sepertinya mampu menjadi pembunuh bersiri yang tidak akan pernah di jatuhkan hukuman mati. Iya benar, kerana sunyi itu akan hadir saat kau bersendirian lalu perlahan-lahan ia menjerut kau dengan perhatian dan kenangan. Sebelum biarkan kau mati kelemasan dan ia berlalu pergi dengan senyuman. Dan kau tertinggal di dalam sudut bilik kecil itu sendirian, mengira-hitung waktu saat bila jasad kau akan ditemukan. Nafas semakin sesak-- lalu kau bakarkan sebatang rokok supaya yang menyesakkan kau adalah rokok bukan perasaan. Telefon di tepi kau pandang sepi, entah sudah berapa lama ia diam tanpa notifikasi. Baru beberapa jam, atau lebih tepat lagi baru 1 jam 45 minit lalu kau punya sebuah perbualan singkat yang padat. Tapi saat ini kau rasa sunyi, atau lebih tepat lagi ia adalah rindu.

Rindu.

Kerana akhirnya kau tahu.
Kerana akhirnya kau mahu tahu.
Kerana akhirnya kau sudah tahu.

Bahawa kalian itu dulu-- adalah cerita-cerita yang tak pernah di sampaikan,
Rindu-rindu yang mencari jalan pulang di sebalik setiap kesunyian,
Perasaan-perasaan yang tak punya "rumah" untuk di simpan,
Serta dua manusia yang saling mencari masa depan.

Satu persatu cerita sejak seratus enam belas hari yang lepas dimainkan dalam bentuk ulang tayang visual, lisan juga perasaan. Dan sebenarnya kisah kalian bukan bermula sejak dari waktu itu, tetapi kebetulan yang sememangnya kebetulan seharusnya menemukan kalian lebih awal. Tetapi cerita Tuhan, sudah Dia rencanakan. Kerana kita selalu menuliskan cerita-cerita yang kita mahu, tetapi Tuhan menuliskan cerita-cerita yang kita perlu. Ada yang berlari jauh, ada yang mengejar jatuh. Kita masih terus di situ, saling menikmati kopi kegemaran berdua, melawan dunia. Kerana ada yang suka lemas dalam andaian, meskipun kita sering buka ruang untuk pertanyaan. Biarkan-- katamu. Dan aku terus tenang dan senyum, melihat kita di dalam "kita". 

Akhirnya, kita sudah punya "rumah" untuk semua perasaan-perasaan kita pulang. 

Sampai Infiniti

Ketika hujan akhirnya berhenti dan mengusir mimpi dari realisis, ketika itu magis hadir kembali. Dan matahari yang melewati si penangkap mimpi, ia bererti -- kita sampai infiniti.


Tak usah kau terangkan ku tahu,
potret wajahmu di setiap penjuru,
curahkan deritamu padaku,
biarku rasa apa yang kau lalu..

Terang terang,
bersama rasa sayang,
ku biarkan kau terbang,
terang terang,
sudut kecil ku isi,
untuk senyuman mu lagi..


Lagu Kotak Hati nyanyian Hujan perlahan-lahan mengisi setiap sudut kereta kecil itu, dan satu-persatu lirik lagu itu menerjah masuk mengisi segenap hati aku. Hujan baru usai berhenti, setelah sekian lama ia turun tanpa pernah kira waktu -- dalam hati. Si penangkap mimpi yang berayun perlahan-lahan di tiup angin sejuk penghawa dingin, di sinari cahaya mentari petang sedang aku masih dalam perjalanan pulang. Iya aku sedang pulang, setelah sekian lama aku sesat -- kini aku sedang pulang, ke "rumah".


Dan sampai satu masa kelak, kita berdua akan melangkah masuk ke dalam "rumah kita", bersama sampai ke infiniti.

Friday, 4 July 2014

Ke Masa Depan

"Assalammualaikum."

Perlahan-lahan dia menoleh ke arah suara itu, sebelum tersenyum. "Waalaikumsalam." Buku yang masih berada di genggaman dikatup perlahan, seolah pembacaannya terus tamat seiring dengan penantiannya. Iya penantian, yang entah dari sejak bila dia begitu setia berada di atas tembok ini. Bertemankan buku dan kopi, menunggu kehadiran sesuatu atau seseorang di sini. Pemilik suara itu menghulurkan tangannya, dan perlahan-lahan dia menyambut sebelum melompat turun dari tembok tempat duduknya. Dan mereka saling berpandangan.

"Dah lama kamu tunggu saya?" Tanya lelaki itu.

"Agaklah, kamu ke mana selama ini?" Tanya si gadis pula.

"Mencari kamu, sampailah saya tiba di hadapan fountain cinta ini." Dan si gadis katarsis, lalu tersenyum manis.

"Yang penting, saya sudah sampai. Dan kita, sudah bertemu. Semula."

Lalu mereka berdiri beriringan, sambil memandang ke arah fountain cinta si gadis berkata "Aku sudah kembali, tanpa sebarang luka di hati. Dan kami, akan berjalan menuju masa depan. Selangkah lebih jauh, terbang lebih tinggi dan kali ini tidak lagi sendiri."

"Iya, ayuh melangkah lebih jauh. Bersama."

99 hari tempoh perkenalan, 4 acara, 2 sesi mengopi, 6 ritual hari Ahad, 1 kejutan, 2 eskapis dan cipta lebih berpuluh ratus ribu memori, bersama keluarga, bahagia dan teman-teman yang kita suka. -A.R, 2014.