Monday, 24 March 2014

Perjalanan Terakhir



"Kita ini adalah hal-hal yang tidak akan pernah sudah." Kata mu sambil berbisik,
Sedang aku sibuk memandu sambil melihat jalan di hadapan yang di kirinya ada tasik,
Perlahan-lahan aku memandang kamu dan bertanya, "Lalu untuk apa kita teruskan perjalanan ini?"
Kau hanya pandang jalan di hadapan sedangkan aku masih setia menanti jawapan,
Sebelum kau memasukkan sekeping disc ke dalam radio kereta dan tersenyum dalam,
- "Kita saling memerlukan, sekurang-kurangnya sampai di hujung perjalanan."
- "Dan apa yang akan tertinggal untuk aku bila kau pergi nanti di akhir jalan?"
- "Sebuah memori, juga sedikit penderitaan. Namun akhirnya akan ada kebahagiaan." Jawab mu tenang.
Lagu Heartaches mulai mengisi setiap ruang di dalam kenderaan itu, selain aku dan kamu.

Now I've got heartaches by the number,
Troubles by the score,
Everyday you love me less,
Each day I love you more.

Now I've got heartaches by the number,
A love that I can't win,
But the day that I stop counting,
That's the day my world will end.

"Sayang, aku ini hanya khayalan dalam memori kamu yang paling dalam, bangunlah dan kejar bahagia kamu. Dan ketahuilah, kamu adalah yang terakhir dan yang paling istimewa buat aku, selamanya."

Itu adalah kata-kata terakhir kamu sebelum aku terjaga sambil memeluk sepi di katil hospital. Kerana perjalanan itu, adalah perjalanan terakhir kita bersama. Dan permulaan perjalanan kamu kembali menuju Tuhan.

Wednesday, 5 March 2014

Monolog

Lihat kepul-kepul awan putih yang kelihatan manis bak gula-gula kapas, cantik bukan? Namun yang terpaling cantik pada aku adalah wajah kamu.

Lihat titis-titis hujan yang jatuh membasahi bumi, itu adalah kerinduan aku kepada kamu.

Lihat dedaunan yang gugur dari pohon-pohon asmara, itu adalah kekecewaan kita terhadap dunia. Kerana pada kita, cinta adalah tentang aku dan kamu melawan dunia.

Lihat pantai yang dihempas ombak setiap waktu, itu adalah hati aku yang sentiasa mengingati kamu.

Dan tentang cerita ini, biarlah ia tamat di sini. Kerana tiada lagi kamu untuk aku ceritakan ia lagi.