Saturday, 28 September 2013

Lulu Aisyah


Kau adalah mutiara,
Hadir dirimu menerangi seluruh
Kesepian hidup aku selama ini.
Kau menyuluh sebuah perjalanan
Menjadi satu alasan untuk
Aku,
Mencari jalan pulang.

Kau adalah kehidupan,
Yang mana dulu aku
Pasak kaki untuk terus melangkah,
Berpura gagah.
Namun kini kau jadi graviti
Yang mana bila aku rebah
Demi kamu aku bangkit
Berlari.

Kau Lulu Aisyah,
Mutiara kehidupan
Anugerah dari Tuhan.
Tangisan mu itu satu melodi merdu
Ketawa mu itu satu rasa bahagia
Kau, bidadari kecil keluarga
Datang menghiasi bersama
Bahagia.


Lulu Aisyah, 2013.

Monday, 23 September 2013

Sebatang rokok, secawan kopi dan sebuah kenangan.

Aku lihat jam tangan di pergelangan tangan kanan, sudah melewati jam 2 petang namun bayang manusia yang di tunggu-tunggu dari tadi masih belum kelihatan. Jarang benar dia lambat. Mata meliar memandang segenap ruang kedai kopi yang sering dikunjungi ini, kelihatan lengang berbanding biasa. Dan aku masih kekal duduk di meja yang sama setiap kali aku datang ke sini. Meja di bahagian luar kedai kopi di sudut penjuru balkoni. Mudah untuk aku merokok. Dan secawan kopi hitam pekat tanpa gula menemani aku di atas meja.

Aku seluk kocek seluar dan keluarkan sebuah kotak kecil, yang mana di dalamnya terdapat sebentuk cincin emas yang aku sudah sekian lama aku simpan. Today is the day, desis aku dalam hati sambil tersenyum. Dari kejauhan aku nampak Rasha berjalan dengan tergesa-gesa mendekati aku. Mungkin sedar dia terlambat. Cepat-cepat aku sorokkan kembali cincin ke dalam kocek. Biar jadi kejutan nanti.

“Awak sorry, saya terlambat. Tak sangka hari ni akan jammed teruk pula. Maaf ya?” Dia tersenyum sambil duduk di kerusi kosong di hadapan aku. Yang mana memang selama ini jadi miliknya.

“Tak adalah, saya pun baru sampai je. Kopi ni pun tak sempat sejuk lagi.” Kata aku seraya menunjuk pada cawan kopi di hadapan aku. “Awak nak minum apa, biar saya pergi belikan?”

“Saya nak.. Saya nak minum ni.” Balas dia sambil mengambil cawan kopi di hadapan aku. Perlahan dia sisip rasa kopi itu sebelum meletakkannya kembali. “Pahitnya! Macam mana awak boleh minum kopi yang pahit macam ni.” Aku ketawa melihat perubahan raut muka Rasha. Dan perlahan-lahan aku ambil dan minum di bahagian bekas bibirnya tadi. “Kopi ini memang pahit awak, tapi bila lihat senyuman awak yang manis ni ia jadi kopi paling manis dalam hidup saya.” Kata aku sambil tersenyum.

“Saya belikan awak green tea macam biasa ya?” Tanya aku memandang Rasha. Dia mengangguk sambil tersenyum. “Belikan sekali blueberry cheesecake please, laparlah.” Tambahnya sambil buat muka comel. Dan blueberry cheesecake di sini memang kegemarannya dari dulu lagi. Walaupun kedai kopi ini ada cawangan di seluruh Malaysia tapi hanya bila ke sini baru dia akan pesan kek. Tak sama rasa katanya. Aku iyakan sahaja sebab aku memang manusia yang tak makan kek. Dan aku pandang wajahnya yang sedang tersenyum itu. Ya Tuhan aku rasa aku dah jatuh cinta buat kali ke berapa ribu kali dengan senyuman itu. Aku senyum sebelum bangun menuju ke kaunter.

*****

Aku kembali dengan secawan green tea dan sepotong blueberry cheesecake dan aku letakkan di hadapan dia. Dia tersenyum sambil menyuap sedikit potongan kek ke dalam mulutnya. “Awak nak?” Tanya dia walaupun dia paling tahu aku adalah manusia yang tak makan kek. Sengaja nak menyakat aku lah tu. Aku geleng perlahan, walaupun dia sudah tahu jawapan yang akan aku berikan. Dia senyum nakal sambil menikmati kek kegemarannya.

“Awak..” aku panggil dia perlahan. “Ya awak.” Balasnya sambil mengangkat muka. Aku capai tangannya yang berada hampir dengan tangan aku. Aku sentuh perlahan jemarinya. Dia pandang aku, masih lagi memakai senyuman yang sama sejak dari tadi. “Awak tahu kan yang saya sangat sayangkan awak? Dan betapa pentingnya awak bagi saya, awak tahu semua itu kan?” aku pandang Rasha. Dia pandang aku, masih tersenyum dan mengangguk. “Awak dah cukup kuat untuk hadapi semua ini sayang.” Katanya lembut sambil menyentuh perlahan pipi aku. Aku pejamkan mata, sungguh aku tak sanggup melalui saat ini, tak sanggup melihat wajahnya.

“Rasha nak Amir tahu, yang Rasha pun sangat sayangkan Amir. Dan Rasha tak mahu lihat Amir terus begini. Rasha akan terus sayangkan Amir sampai bila-bila.”

Aku buka mata. Tiada lagi Rasha. Yang tinggal hanyalah sebuah kerusi kosong yang selama ini menjadi miliknya, secawan kopi dan sepotong blueberry cheesecake kegemarannya yang aku beli. Aku keluarkan sebatang rokok, dibakar dan aku sedut dalam-dalam sebelum aku hembus asapnya perlahan-lahan. Aku cucuk rokok itu di atas blueberry cheesecake, umpama lilin dan aku letakkan cincin yang selama ini aku simpan di sebelahnya.

“Selamat hari ulangtahun kelahiran sayang. Semoga kau bahagia di sana.” 

Aku lihat jam di tangan kanan, sebatang lagi rokok dibakar, sebelum bangun dan berlalu pergi sambil berharap semua kenangan ini akan hilang bersama asap-asap yang aku hembuskan.