Friday, 29 November 2013

Seorang Tua Di Pinggir Kota

Aku lihat,
Kota yang dulunya berdiri megah ; gagah
Kini perlahan-lahan mulai rebah,
Menanti waktu untuk menyembah bumi,
Membawa bersama manusia sudah mati ; hati.

Aku lihat,
Yang bekerja selalu berkejar-kejaran,
Yang muda remaja di butakan
Dengan kemewahan yang tak berkekalan,
Dan masih kota ini ku rasa sunyi -sepi.

Aku lihat,
Dalam keriuhan ini masih ada kesunyian,
Manusia-manusia yang dahagakan perhatian,
Tercari-cari bahagia melalui alam maya,
Lalu mereka tersesat di dalamnya.

Aku lihat,
Cinta itu tidak lagi seperti dulu,
Ia terlalu mudah terlampau murah,
Cinta itu tidak lagi menjadi bahagia,
Sebaliknya membawa banyak derita.

Dan aku masih lagi di sini,
Duduk di dalam hiruk pikuk kota,
Memerhati dan terus memerhati,
Sampai satu masa,
Akan aku pulang bertemu Yang Maha Esa.

-Amir : 1 Disember 2013, Shah Alam.

Thursday, 17 October 2013

30 Hari

Hari pertama
Aku dan kamu itu pasti akan janggal,
Interaksi mungkin hanya melalui maya
Atau lain-lain jaringan media.
Gelak ketawa kamu beri aku
Rasa bahagia. 
Tapi aku masih mahu mengenali lebih
Tentang kamu.

Hari ke-tujuh
Kita semakin serasi bersama,
Kau sering mengisi waktu-waktu kosong
Aku yang dulunya hanya ada sepi dan sunyi.
Kini dunia aku penuh warna-warni,
Tapi aku mahu kau mengisi setiap genap
Ruang hidup aku.

Hari ke-empat belas
Pertengkaran mula terjadi,
Kau cemburu dengan teman baik aku
Yang aku kenal dia lebih dulu.
Tapi aku sayang kamu dan aku
Berjanji takkan hubungi dia lagi.
Dan kau kembali tersenyum
Dan aku kembali tersenyum.

Hari ke-lapan belas
Kau hilang sepi seharian,
Tanpa sebarang balasan namun
Aku masih setia tinggal pesanan,
Risau, bimbang akan diri mu sayang.
Dan kau masih hilang.
Dan aku masih menanti.

Hari ke-dua puluh satu
Aku dapat tahu tempoh hari kau
Ada keluar berjumpa bekas kekasih-mu,
Namun aku diamkan dan kau mula
Menjarakkan diri, semakin sukar
Untuk dihubungi.
Kau kata kau busy jadi aku cuba mengerti.

Hari ke-dua puluh enam
KLCC jadi saksi
Dan langit malam turut sama menangis,
Hati ini kau gilis, pijak dan buang
Umpama aku ini manusia jalang,
Sedangkan yang sedang curang
Itu kamu bukan aku. 
Dan kau dengan mudah ucapkan
Kata mahu putus, 
Kerana kau bahagia dengan dia
Bekas kekasih-mu dulu.

Hari ke-tiga puluh
Tiba-tiba kau muncul semula,
Hadir bersama bekas merah berbentuk hati,
Yang sudah retak dan jemari kau yang luka,
Kau ditinggalkan oleh dia yang hanya
Mahukan kau untuk sementara.
Maaf sayang hati aku sudah mati.

Friday, 11 October 2013

Sebuah Perkenalan.

Situasi di sebuah sekolah rendah kebangsaan tepi jalan.

"Hai, boleh saya duduk dekat sini?" Tanya si jejaka pada si gadis.
Diam.
"Awak, boleh tak saya nak duduk dekat sini?"
Masih diam. Lantas si gadis menulisnya sesuatu di atas sekeping kertas.

'Mak saya tak bagi cakap dengan orang yang saya tak kenal.'

Si jejaka senyum sebelum berkata, "Kalau begitu marilah kita berkenalan." Si gadis mengangguk tanda setuju.

"Hai, selamat berkenalan. Siapa nama awak?"
"Hai, selamat berkenalan. Nama saya Nurul. Apa nama awak?"
"Nama saya Amir, tapi awak boleh panggil saya sayang kalau awak mahu."
Senyum.

Dan pada waktu rehat hari itu dilihat mereka berdua berjalan bersama-sama menuju ke kantin sekolah.

Tamat.

Saturday, 28 September 2013

Lulu Aisyah


Kau adalah mutiara,
Hadir dirimu menerangi seluruh
Kesepian hidup aku selama ini.
Kau menyuluh sebuah perjalanan
Menjadi satu alasan untuk
Aku,
Mencari jalan pulang.

Kau adalah kehidupan,
Yang mana dulu aku
Pasak kaki untuk terus melangkah,
Berpura gagah.
Namun kini kau jadi graviti
Yang mana bila aku rebah
Demi kamu aku bangkit
Berlari.

Kau Lulu Aisyah,
Mutiara kehidupan
Anugerah dari Tuhan.
Tangisan mu itu satu melodi merdu
Ketawa mu itu satu rasa bahagia
Kau, bidadari kecil keluarga
Datang menghiasi bersama
Bahagia.


Lulu Aisyah, 2013.

Monday, 23 September 2013

Sebatang rokok, secawan kopi dan sebuah kenangan.

Aku lihat jam tangan di pergelangan tangan kanan, sudah melewati jam 2 petang namun bayang manusia yang di tunggu-tunggu dari tadi masih belum kelihatan. Jarang benar dia lambat. Mata meliar memandang segenap ruang kedai kopi yang sering dikunjungi ini, kelihatan lengang berbanding biasa. Dan aku masih kekal duduk di meja yang sama setiap kali aku datang ke sini. Meja di bahagian luar kedai kopi di sudut penjuru balkoni. Mudah untuk aku merokok. Dan secawan kopi hitam pekat tanpa gula menemani aku di atas meja.

Aku seluk kocek seluar dan keluarkan sebuah kotak kecil, yang mana di dalamnya terdapat sebentuk cincin emas yang aku sudah sekian lama aku simpan. Today is the day, desis aku dalam hati sambil tersenyum. Dari kejauhan aku nampak Rasha berjalan dengan tergesa-gesa mendekati aku. Mungkin sedar dia terlambat. Cepat-cepat aku sorokkan kembali cincin ke dalam kocek. Biar jadi kejutan nanti.

“Awak sorry, saya terlambat. Tak sangka hari ni akan jammed teruk pula. Maaf ya?” Dia tersenyum sambil duduk di kerusi kosong di hadapan aku. Yang mana memang selama ini jadi miliknya.

“Tak adalah, saya pun baru sampai je. Kopi ni pun tak sempat sejuk lagi.” Kata aku seraya menunjuk pada cawan kopi di hadapan aku. “Awak nak minum apa, biar saya pergi belikan?”

“Saya nak.. Saya nak minum ni.” Balas dia sambil mengambil cawan kopi di hadapan aku. Perlahan dia sisip rasa kopi itu sebelum meletakkannya kembali. “Pahitnya! Macam mana awak boleh minum kopi yang pahit macam ni.” Aku ketawa melihat perubahan raut muka Rasha. Dan perlahan-lahan aku ambil dan minum di bahagian bekas bibirnya tadi. “Kopi ini memang pahit awak, tapi bila lihat senyuman awak yang manis ni ia jadi kopi paling manis dalam hidup saya.” Kata aku sambil tersenyum.

“Saya belikan awak green tea macam biasa ya?” Tanya aku memandang Rasha. Dia mengangguk sambil tersenyum. “Belikan sekali blueberry cheesecake please, laparlah.” Tambahnya sambil buat muka comel. Dan blueberry cheesecake di sini memang kegemarannya dari dulu lagi. Walaupun kedai kopi ini ada cawangan di seluruh Malaysia tapi hanya bila ke sini baru dia akan pesan kek. Tak sama rasa katanya. Aku iyakan sahaja sebab aku memang manusia yang tak makan kek. Dan aku pandang wajahnya yang sedang tersenyum itu. Ya Tuhan aku rasa aku dah jatuh cinta buat kali ke berapa ribu kali dengan senyuman itu. Aku senyum sebelum bangun menuju ke kaunter.

*****

Aku kembali dengan secawan green tea dan sepotong blueberry cheesecake dan aku letakkan di hadapan dia. Dia tersenyum sambil menyuap sedikit potongan kek ke dalam mulutnya. “Awak nak?” Tanya dia walaupun dia paling tahu aku adalah manusia yang tak makan kek. Sengaja nak menyakat aku lah tu. Aku geleng perlahan, walaupun dia sudah tahu jawapan yang akan aku berikan. Dia senyum nakal sambil menikmati kek kegemarannya.

“Awak..” aku panggil dia perlahan. “Ya awak.” Balasnya sambil mengangkat muka. Aku capai tangannya yang berada hampir dengan tangan aku. Aku sentuh perlahan jemarinya. Dia pandang aku, masih lagi memakai senyuman yang sama sejak dari tadi. “Awak tahu kan yang saya sangat sayangkan awak? Dan betapa pentingnya awak bagi saya, awak tahu semua itu kan?” aku pandang Rasha. Dia pandang aku, masih tersenyum dan mengangguk. “Awak dah cukup kuat untuk hadapi semua ini sayang.” Katanya lembut sambil menyentuh perlahan pipi aku. Aku pejamkan mata, sungguh aku tak sanggup melalui saat ini, tak sanggup melihat wajahnya.

“Rasha nak Amir tahu, yang Rasha pun sangat sayangkan Amir. Dan Rasha tak mahu lihat Amir terus begini. Rasha akan terus sayangkan Amir sampai bila-bila.”

Aku buka mata. Tiada lagi Rasha. Yang tinggal hanyalah sebuah kerusi kosong yang selama ini menjadi miliknya, secawan kopi dan sepotong blueberry cheesecake kegemarannya yang aku beli. Aku keluarkan sebatang rokok, dibakar dan aku sedut dalam-dalam sebelum aku hembus asapnya perlahan-lahan. Aku cucuk rokok itu di atas blueberry cheesecake, umpama lilin dan aku letakkan cincin yang selama ini aku simpan di sebelahnya.

“Selamat hari ulangtahun kelahiran sayang. Semoga kau bahagia di sana.” 

Aku lihat jam di tangan kanan, sebatang lagi rokok dibakar, sebelum bangun dan berlalu pergi sambil berharap semua kenangan ini akan hilang bersama asap-asap yang aku hembuskan.

Thursday, 29 August 2013

Gadis Halusinasi

Gadis itu setiap hari akan datang,
Tanpa perlu aku undang,
Tak dapat aku halang.

Mata coklat itu,
Bibir yang kemerahan itu,
Ia menjadi adiksi buat aku.

Jadi aku terus menunggu,
Di penjuru sebuah kedai kopi,
Di hujung sebuah perpustakaan mini,
Dan juga di dalam dewan kuliah ini,
Aku masih menunggu.

Gadis halusinasi,
Yang datang memeluk mimpi,
Yang datang menyentuh realiti,
Yang datang berbisik pada hati.

Wahai gadis, saat ini aku benar-benar berharap yang kau bukan sekadar ilusi.

-Amir-

Wednesday, 17 July 2013

Aku, Kau dan Kita.

Di sebalik tabir memori itu, aku jumpa bahagia.
Bahagia yang dulu bersulam tawa gembira.
Bahagia yang dulu ada nama kau dan aku.
Bahagia yang dulu mampu terangi setiap malam-malam sepi aku.
Aku selak perlahan-lahan helaian demi helaian.
Mencari di mana akhirnya cerita kita.
Mencari di mana salahnya aku, melukakanmu.
Jujur aku lupa tarikh terakhir kita bahagia,
Jujur aku lupa waktu terakhir kau gembira,
Aku yang sering membawa airmata dari senyuman selesa.
Kau sering tersenyum, dan kata "Tak ada apa-apa" sedangkan aku tahu di dalam sana kau berdarah terluka.
Kau terlalu menjaga hati aku, sehingga kau lupa bagaimana mahu jaga hati sendiri.
Dan aku dengan rakus meratah hatimu, melukaimu, menyakitimu.
Aku leka dengan permainan dunia.
Sehinggakan kau pergi jauh baru aku tersedar.
Aku sedar yang hidup ini perlu berdua, untuk aku kecapi bahagia.
Kehilangan, sedarkan aku perihal hati.
Kehilangan, ajar aku untuk menghargai.
Kehilangan, yang hilang takkan selalu berganti.
Itu yang aku faham kini.
Aku lupa, kau bukan layang-layang yang aku pegang pada tali.
Kau manusia yang menanti aku penuhi janji-janji.
Dan aku manusia yang memungkiri.
Dan kau manusia yang akhirnya berlalu pergi.
Ceritakan pada aku, tentang sebuah kisah yang dulu jadi kenangan indah.
Agar aku tersenyum walau seketika.
Agar aku dapat rasa kembali apa itu bahagia.
Walaupun cuma sekejap saja.
Ceritakan kisah tentang aku, kau dan kita.

Wednesday, 10 July 2013

Buat Awak.

Bila cinta yang kau jumpa tak seperti cinta yang kau harapkan,
Bila apa yang terjadi tak sepertimana yang kau idamkan,
Jangan mengalah dan jangan berputus asa,
Jangan mudah angkat bendera putih dan kata yang ini bukan cinta.

Semua manusia mahukan kebahagiaan, kegembiraan.
Semua manusia mahu rasa manisnya cinta dan perasaan.
Tapi kita jangan lupa yang hidup ini berpasangan,
Setiap yang manis itu akan ada juga pahit dalam perhubungan.
Setiap yang indah itu kadang-kala terselit secebis kesedihan.

Aku tahu yang rindu itu satu perasaan,
Aku tahu yang cinta itu bukan sekadar perkataan,
Aku tahu yang sayang itu tak cukup dengan perhatian,
Aku tahu itu.

Bercintalah kembali selepas kau ubati hati,
Bukan bercinta bila kau rasa sunyi,
Bukan bercinta hanya mahukan rasa indah dalam hati.
Bercintalah bila kau sudah bersedia menerima seorang insan lain dalam hidup ini.
Bercintalah bila kau sudah belajar dari pengalaman hidup sebelum ini.
Bercintalah bila kau sudah belajar bagaimana mahu menghargai.

Kau, akan tetap menjadi kenangan terindah buat aku.
Walaupun kisah kita mungkin berhenti satu masa dulu,
Tetapi memori dan kenangan bersama kau akan kekal dalam hati,
Dan akan terus aku jadikan sebagai pengalaman suatu hari nanti.

Awak, saya doakan awak bahagia.

Sunday, 23 June 2013

#MyPlaylist

Within Temptation - Bittersweet


If I tell youWill you listen, will you stay?Will you be here forever?Never go away?
Never thought things would changeHold me tightPlease don't say againThat you have to go
A bitter thought I had it allBut I just let it goOh, this silence it's so violentSince you're gone
All my thoughts are with you foreverUntil the day we'll be back togetherI will be waiting for you
If I had told youYou would have listenedYou had stayedYou would be here forever
Never went awayIt would never have been the sameAll our time would have been in vain'Cause you had to go
The sweetest thought I had it all'Cause I did let you goAll our moments keep me warmWhen you're gone
All my thoughts are with you foreverUntil the day we'll be back togetherI will be waiting for you.

Tuesday, 30 April 2013

Bicara Hati 1

Aku bukan berhenti menulis.
Aku cuma berehat sebentar.
Sebab kali ini aku mahu cari realiti.
Daripada terus diulit ilusi dalam mimpi.

Boleh?

Thursday, 21 March 2013

Aku Sayang Kamu Semua!


Sewaktu aku sedang menulis ini, ada yang sedang menangis dan terluka.
Pesanan ringkas pada jam 7:30 pagi tadi
ternyata adalah benar.
Seorang lagi telah pergi dijemput Ilahi untuk pulang, pulang
menemui-Nya Sang Pencipta.
Kelu, diam, sungguh aku tak tahu bagaimana ingin berbicara.
Dan aku mulai berfikir,
Bagaimana kalau isi pesanan ringkas itu adalah keluarga rapat,
Mahupun sahabat?
Atupun mereka yang aku pernah sayang,
yang aku sedang sayang.
Kuatkah aku untuk menerima ketentuan takdir Ilahi?
Masih banyak yang ingin aku berikan,
Masih banyak yang perlu aku lakukan,
Masih banyak yang ingin aku bicarakan.
Adakah masih sempat untuk aku memohon maaf?
Adakah masih sempat untuk aku membalas jasa?
Adakah masih sempat untuk aku katakan yang aku sayangkan mereka semua?

Dan terlahirlah penulisan rojak ini.
Dengan satu niat,
Aku mahu mereka tahu.

Ayah, Mama, Wani dan Nana.
Keluarga yang sentiasa menyokong aku saat jatuh bangun. Yang takkan pernah tinggalkan aku dalam kepayahan berseorangan. Dan kini ditambah dengan kehadiran dua abang ipar, Zam dan Daus. Aku berterima kasih pada Tuhan, kerana berikan aku keluarga terbaik yang menyayangi aku. Sungguh banyak perkara yang tak mampu aku balas buat semua. Maafkan Amir andai ada salah silap. Amir mahu kamu semua tahu, yang Amir sungguh-sungguh sayangkan kamu semua. Sampai akhir nanti.

Buat sahabat-sahabat yang takkan cukup ruang muka surat untuk aku nukilankan,
Kau bersama aku saat susah senang aku, kau seperti keluarga, kau umpama abang, dan juga umpama adik. Kerana aku hanya seorang anak lelaki tunggal dalam keluarga, jadi aku mahu kau tahu betapa bermaknanya, betapa bersyukurnya aku dikurniakan sahabat seperti kalian. Kenangan, memori kita bersama adalah antara kenangan terindah yang aku miliki. Terima kasih sahabat sekalian.

Buat mereka ; yang pernah aku sayang dan yang sedang aku sayang.
Aku sayang korang. Kakaka.

“Selagi masih ada masa, beritahulah pada keluarga, sahabat dan mereka yang istimewa bahawa kita sayangkan mereka. Kerana selepas kita kehilangan mereka, yang tinggal hanyalah kenangan. Dan doa sebagai penghubung.” – Shah Alam, 2013.

Sunday, 17 March 2013

Surat Untuk Diri

Assalammualaikum,

Saat aku menulis surat ini adalah di saat aku baru pulang dari beriadah bersama sahabat-sahabat aku, dan aku harap di saat kau sedang membaca surat ini mereka yang aku gelar sahabat itu masih lagi kekal menjadi sahabat kau.

Man, aku tak tahu pada tahun bila kau akan baca semula surat yang aku sedang karang ni. Ada orang cakap suruh tulis surat untuk diri sendiri, jadi aku pilih untuk tulis surat untuk kau yang di masa hadapan.

Kau dah kahwin ke belum? Aku tahu banyak kisah cinta kau yang sebelum-sebelum ni gagal. Tapi aku percaya, bahawa jodoh dan ajal maut tu di tangan Tuhan. Kalau kau dah kahwin, kirim salam ke isteri kau. Isteri aku juga ye dak? Kakaka. Sayangilah dia Man, jaga hatinya dan cintailah dia sampai hujung nyawa, till Jannah bak kata orang di zaman 2013 ni. Saat kau melafazkan “Aku terima nikahnya” aku harap saat tu kau dah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami, ayah dan menantu terbaik. Kau jangan risau, lepas tulis surat ni aku akan practise cara-cara nak menjadi suami idaman. Kakaka.

Man, ini ada lagi aku nak pesan. Aku kalau boleh nak sangat namakan anak-anak perempuan aku dengan nama yang aku bagi dekat kereta dan kamera aku tu. Jadi kau paling kurang kena ada 2 orang anak perempuan tahu? Seorang namanya Rana Rasha dan seorang lagi tu Zara Zuyyin.

Banyak benda sebenarnya aku nak pesan pada kau Man, tapi memandangkan ini surat aku yang pertama ke masa hadapan yang aku sendiri pun tak pasti akan sampai atau tidak pada kau, jadi cukuplah dengan permintaan aku yang di atas tu. Esok lusa aku nak karang surat ke Rahman masa silam pula. Akhir kata aku, jadilah seorang Rahman yang seorang Rahman akan jadi.

Yang benar,
Abdul Rahman Mohd Zakaria. Rawang, 2013


p/s: Boleh baca semua kompilasi di carian #SuratUntukDiri di Twitter dan juga di Tumblr. Surat Untuk Diri ini diasaskan oleh @Zara_Syed, pemilik blog Dunia Sebelah Zara. Mari ramai-ramai menulis surat untuk diri. :D

Thursday, 24 January 2013

KLCC 2013

Nikon D90, 50mm f/1.8, ISO 2500, F/2.2, 1/20sec. (KLCC - 24 Jan 2012)

Ini kisah semalam. Yang hanya tinggal kenangan. Manakala hari ini adalah hadiah, kerana kau diberi peluang untuk masih menatap matahari, dan esok akan menjadi satu kejutan misteri.

"Hidup ini kadang-kala tak seharusnya memiliki" - AbdRahman_MZ, Twitter, 2013.

Monday, 7 January 2013

Permulaan 2013

Nikon D90 with Nikkor 50mm f/1.8, ISO 200 F/2.5 1/1250 sec.

Tiada cerita yang mahu diceritakan, tiada mitos yang mahu didongengkan dan tiada makwe-makwe untuk dipeluk pada waktu bekerja malam di dalam bilik berhawa dingin sambil mendengar bunyi mesin bilik sebelah yang semakin kerap rosak. Jadi aku hanya mampu letakkan sekeping gambar digital bunga yang di ambil di tepi tong sampah pada majlis perkahwinan sepupu aku beberapa hari lepas. Diharap ini dapat menjadi satu titik permulaan yang indah untuk tahun 2013 ini walaupun 2 hari selepas tarikh gambar ini ditangkap aku mula memaki manusia di dalam hati. Sekian.