Thursday, 9 August 2012

10 Ramadan Terakhir

Ramadan kini sudah masuk ke 10 hari terakhir, di mana yang makcik-makcik akan semakin ligat membuat kuih dan biskut raya mahupun secara arahan kepada anak gadis masing-masing mahupun secara tunjuk-menunjuk di Kompleks PKNS. Yang makwe-makwe pula sedang dalam proses mencuba baju-baju raya berikutan saiz badan yang sudah tidak sama dengan tahun lepas, merajuk dengan pakwe masing-masing kerana warna baju raya tidak sedondon dan tak lupa sedang sibuk update status twitter untuk tempat-tempat berbuka yang belum sempat dikunjungi. Bagi lelaki pula terutamanya team Satria kena bawa kereta laju-laju di Lebuhraya Persekutuan akan sibuk buka forum-forum bagi mencari sport rim, spoiler mahupun makwe baru untuk ditayang semasa balik beraya nanti.  Tidak lupa juga kepada suami dan isteri yang akan mulakan proses berkempen berikutan mahu meraih kemenangan dalam menentukan kampung halaman yang mana harus dikunjungi dahulu pada tahun ini.

Dalam kesibukan kita semua dalam mencari baju dan aksesori baru sempena Aidilfitri, sibuk memenuhi balang-balang kaca di rumah dengan puluhan jenis aneka kuih raya, yang pelajar pula sedang sibuk meminta para pensyarah supaya membatalkan mahupun menunda kelas di hari Jumaat hadapan kepada selepas cuti raya dengan alasan sudah membeli tiket untuk pulang ke kampung, dan dalam kesibukan saya mengemaskini blog pada waktu kerja ini, kita semua kadang-kala terlupa dengan makna Ramadan ini, kita terlupa dengan kekurangan mereka yang kurang bernasib baik, kita terlupa.

Dalam 10 hari yang terakhir ini kita akan sibuk dengan segala persiapan raya, mengemas rumah dan sebagainya. Dan kita juga perlahan-lahan mula kembali kepada diri kita pada 11 bulan yang lain. Kalau pada permulaan Ramadan dahulu kita masih ringan tulang untuk mengisi saf-saf kosong di surau mahupun masjid, pada hujung Ramadan ini perasaan malas itu mulai wujud. Saya juga begitu, kerana kita ini manusia yang mudah leka, mudah alpa dan mudah lupa. Jadi semoga Ramadan kali ini tidak akan sama seperti Ramadan yang lepas-lepas, di mana kita tidak mengambil peluang yang telah diberikan kepada kita di setiap Ramadan. Amboi seolah mahu berceramah pula, saya sekadar mengingatkan diri saya dan juga semua yang sudi membaca.

Sebenarnya, saya tersentuh bila menonton iklan raya oleh Bernas pada tahun ini. Dan idea untuk menulis itu datang dengan tiba-tiba. Kemain payah lagi saya nak kemaskini blog sebenarnya, malas katakan. Kahkahkah. Jadi saya kongsikan di sini iklan yang hampir-hampir buatkan saya menitiskan airmata. 



Saya akan merindui Ramadan kali ini. Itu yang pasti.

2 comments:

dillabaharudin said...

aku bukan hampir, tapi memang menitiskan air mata pun.

baby manja said...

memang sedih iklan tu lagi2 tengok yg fullversion..
Selamat hari raya aidilfitri
Babymanja8.blogspot.com
(: