Monday, 2 July 2012

Pada Hari Sabtu Itu

Hari itu hari Sabtu. Ayu sedang duduk bersimpuh di atas pelamin, atau pentas mini yang diubah suai supaya nampak seperti pelamin. Ada sungguh ramai orang hari itu di rumah Ayu. Yang perempuan-perempuan sedang duduk berhampiran pelamin, mengusik-usik Ayu. Kemerahan pipinya akibat diusik sedemikian. Yang makcik-makcik pula sibuk dengan gosip-gosip semasa, tak kurang juga bercerita tentang majlis perkahwinan klise di Nona, pasti mahal harganya. Dan pakcik-pakcik pula yang mana hisap rokok akan menghisap rokok, yang mana tak hisap rokok akan pura-pura bersembang sambil hisap rokok. Seperti kata Sofia dalam Lelaki Eksistensial, media yang menunjukkan bahawa merokok itu kool. Kalau kau faham.

Bila sampai masanya, seorang wanita (sebab dia bukan perempuan muda) bangun menghampiri Ayu sambil membawakan dua bentuk cincin. Zaman pasca DEB ini memang begitu, satu takkan pernah cukup katanya. Disarungkan kedua-dua bentuk cincin yang berwarna emas itu ke jari Ayu. Semua yang hadir tersenyum gembira, atau mereka semua berpura-pura gembira.

Dan pada hari Sabtu itu pada jam berapa-berapa di tarikh yang tidak dinyatakan, Ayu telah selamat ditunangkan dengan lelaki pilihan hatinya. Zaman moden ini, perempuan kena pilih teman hidup sendiri. Dan lelaki, kau hanya perlukan duit yang banyak untuk merealisasikan majlis perkahwinan umpama dalam rancangan Nona, atau seolah-olah demikian.

No comments: