Sunday, 1 January 2012

Selamat Tahun Baru 2012 # Cerita Aku Pada 2011

#np Rivers Flow in You - Yiruma

Salam 2012.

Tahun baru yang bermakna meningkat lagi setahun umur kita semua. Semoga dengan kehadiran tahun baru ini kita semua akan menjadi manusia yang lebih baik hari ini daripada semalam. Dan semoga segala apa yang terjadi pada 2011 kita jadikan iktibar, pengajaran dan juga sempadan buta tahun yang serba baru ini.

Sebenarnya bagi aku, tidak ada apa pun yang berubah secara total dalam tahun yang baru ini. Yang berubah hanya tarikh, harga rokok dan minyak, dan juga mungkin hati. Manusia takkan dapat berubah secara drastik dan mendadak. Itu adalah seorang manusia. Dan manusia akan kekal menjadi manusia. Dan aku rasa tak perlu aku ungkapkan apa yang akan terjadi pada aku tahun 2012 ini. Mungkin perancangan itu wujud, tapi seperti yang telah terkata sejak dari Azali, kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan. Jadi sempena 1/1/2012 ini aku ingin ceritakan serba sedikit tentang aku sepanjang tahun 2011. Semoga ini menjadi titik tolak kepada aku untuk lebih berjaya, dan semoga aku dan kita semua menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya.

Ok aku rasa macam aku akan buat karangan pula. Kahkahkah. Tahun 2011 bagi aku adalah tahun yang sangat bermakna buat aku. Tahun yang banyak mengajar aku, tahun yang mendewasakan dan tahun yang membuka mata, minda dan hati. Tahun 2011 juga adalah tahun yang paling aku sibuk sebenarnya. Senyum.

2/2/2011
Hari pertama aku melangkah kaki ke alam pekerjaan yang sebenar. Tidak ada lagi istilah kerja main-main. Bertitik tolak dari tarikh ini aku sebagai seorang manusia yang mula menjadi seorang manusia. Dan apa yang aku pelajari di sini bukanlah sekadar pengalaman dan kerja. Aku belajar tentang hidup dan manusia, sikap dan perangai. Dan aku ketahui, yang segala program mesin, bahagian mekanikal dan elektrik mesin adalah lebih mudah difahami berbanding hati seorang wanita.

26/7/2011
Satu kehilangan, satu penyatuan semula. Aku terima berita daripada panggilan telefon pada jam 8 malam usai pulang dari kerja. Boleh baca di sini Sedetik Kenangan # L. Aku belajar bahawa kematian itu pasti datang, cuma mungkin caranya berbeza. Mungkin caranya itu tanpa kita sedar. Dan sewaktu di memorial itu juga menyatukan aku dan teman-teman lama yang lain. Di sebalik perpisahan selamanya itu, ada satu penyatuan semula. Tapi apa pun, hati kami semua masih sama seperti dulu, sama sewaktu kehadiran kau, L.

10/10/2011
Jangka masa yang lama, sebenarnya dari bulan 3 hingga ke bulan 9 banyak juga perkara yang terjadi namun ada yang lebih baik disimpan oleh aku sendiri. Dan pada tarikh ini adalah kali pertama aku berkunjung ke syurga buku di Uya Distro SS15 Subang, sewaktu pelancaran kitab Terfaktab. Kenapa ianya penting? Kerana inilah titik permulaan kepada aku yang kembali menaikkan keinginan aku untuk terus menulis dan menulis. Aku belajar jatuh cinta dengan penulisan. Dan aku belajar yang penulisan bukan sahaja sebagai medium untuk meluahkan, tetapi juga boleh menjadi sesuatu yang mampu mengubah seorang manusia.

12/11/2011
Hari perkahwinan kakak sulung aku. Di sini aku belajar tentang kadang-kala, apa yang kita benci itu mampu menjadi kebahagiaan orang lain. Perkahwinan kakak aku ini mengajar aku erti toleransi. Menerima walaupun perkara itu sendiri menyakitkan. Dan kebebasan di dalam perhubungan itu mampu menjadikan sesuatu hubungan itu lebih mudah dan kurang pertelingkahan.

9/12/2011
Hari lahir aku. Dan buat pertama kali sepanjang hidup aku, aku meniup lilin sewaktu sambutan hari lahir aku diiringi sebuah kek. Sambutan hari lahir untuk kami semua sahabat-sahabat yang berada di bulan Disember. Di sini aku belajar tentang apa itu erti persahabatan yang aku selalu ucapkan dulu. Mereka adalah sahabat, teman yang akan sentiasa aku simpan rapat di dalam hati ini. Sahabat adalah bila seorang teman kau, bila kau punyai kesukaran hidup mereka tanpa berfikir akan membantu. Itulah sahabat. Dan aku sudah temui sahabat sejati aku, dan aku mohon hubungan yang terjalin sejak tahun 2000 ini akan terus berkekalan. Seperti kata seorang teman, aku harap kita akan terus bersahabat dan kekal berjiran sehingga ke akhirnya.

18/12/2011
Hari pertunangan kakak aku yang kedua. Dan masih lagi aku yang menjadi jurugambar buat kakak-kakak aku. Di sini aku belajar tentang perpisahan. Kakak aku ini dan tunangnya dulu pernah bercinta, tapi putus sewaktu di pertengahan jalan. Masing-masing membawa haluan masing-masing. Dan aku nampak betapa payahnya kakak aku cuba untuk bangun dari kejatuhan itu. Perempuan, bila mereka kata sayang mereka akan berikan seluruhnya. Tapi seperti yang aku kata, kita hanya merancang tetapi yang menentukannya adalah Tuhan. Dan akhirnya dua (2) tahun lepas kakak aku dan tunangnya kembali bersama selepas berpisah hampir setahun lebih. Kenapa, kerana mungkin itu adalah ketentuan, jodoh mereka. Masing-masing ada kesilapan dan kesalahan yang membawa kepada perpisahan itu, tapi kerana takdir dan jodoh akhirnya mereka selamat mengikat tali pertunangan dan bakal berkahwin pada tahun ini. See, who said that love don't need fate?

24/12/2011
Aku menghadiri kursus bersama Dato Dr Fadzilah Kamsah. Ini adalah kursus yang dianjurkan oleh syarikat tempat aku bekerja. Mungkin keran terlebih bajet tahunan dan enggan beri bonus lebih jadi dibuatkan kursus kepada kami. Apapun aku berterima kasih kerana diberikan peluang ini. Aku belajar untuk menjadi seorang manusia yang lebih baik daripada semalam dan berharap esok akan lebih baik daripada hari ini. Di sini adalah titik tolak aku untuk mengharungi tahun 2012 yang pastinya akan lebih mencabar daripada tahun 2011. Itu aku pasti, kerana perubahan ini aku berdoa supaya diberikan kekuatan untuk mampu menjadi seorang lelaki, anak, sahabat dan teman yang baik kepada semua.

25/12/2011
Satu sesi photoshot talent yang pertama kali aku pergi. Ditemani dua orang sifu dan sahabat yang sudah lama berkecimpung dalam bidang menembak ini, aku belajar banyak perkara baru. Dan aku mula berazam untuk menjadi sehebat mereka pada tahun ini, dan mungkin lebih hebat daripada mereka.

31/12/2011
Semalam, saat semua sedang sibuk berkejaran mahu menyambut tahun baru di sana sini. Aku pula berkecamuk di dalam hati. Perubahan itu sangat drastik, aku minta maaf jika perubahan itu melukakan hati sesiapa. Tapi aku berharap segala apa yang akan ditempuhi bermula hari ini dan seterusnya, kita semua akan hadapinya dengan tenang.

Itulah tahun 2011 aku. Ada suka, ada duka, ada pengajaran dan juga kejatuhan. Mungkin masih ada yang tidak diberitahu, dicoretkan tapi diharap sedikit sebanyak mampu memberi penjelasan, dan mungkin juga pengajaran dan erti hidup.

Selamat tahun baru 2012. Azam tahun baru aku: Aku ingin menjadi seorang manusia , seorang anak dan sahabat yang lebih baik, seorang photographer yang hebat dan juga seorang Hero. 

No comments: