Tuesday, 13 December 2011

Bobo, Mimi dan Black. Cinta Itu Memerlukan Pengorbanan.

Cinta itu memerlukan pengorbanan.

Bobo berlari-lari anak sewaktu melintasi jalan raya untuk ke taman permainan berdekatan rumahnya. Itu adalah jalan paling singkat dan paling merbahaya pernah wujud untuk ke taman permainan itu. Pada mulanya dia agak teragak-agak untuk menggunakan jalan itu ataupun mencari laluan alternatif lain. Namun apabila terlihatkan Mimi yang setia menanti di sebelah jalan sana, Bobo mula kuatkan hati dan dengan sepenuh kudratnya mula melangkah melintasi jalan yang mulai sibuk itu.

Sampai di pertengahan jalan, Bobo berehat sebentar di atas pembahagi jalan yang diwarnakan hitam putih itu. Dia memandang ke sebelah sana, Mimi masih setia menanti kehadirannya. Dia tersenyum tatkala Mimi melihatnya dengan penuh kerisauan.

"Dia risaukan aku, dia masih sayangkan aku lagi rupanya." monolog Bobo.

Dia yang mengajak Mimi untuk bertemu di taman permainan itu, tempat mereka selalu berjumpa hampir setiap petang sebelum dia mendapat tahu Mimi di belakangnya senyap-senyap selalu berjumpa dengan Black semasa dia tiada di rumah. Dan hari ini dia nekad mahu menemui Mimi dan meminta penjelasan. Dia akui dia masih sayangkan Mimi, dan dia tidak mahu mempercayai sebarang gosip-gosip liar sebelum mendapat kepastian yang sahih daripada kekasih hatinya itu.

Hanya tinggal beberapa meter lagi, lalu dengan langkah yang sejuk (baca: cool) Bobo mula melintas jalan yang separuh untuk mendapatkan Mimi. Dari jauh dia melihat Mimi sedang tersenyum menanti kehadirannya. Dia masih lagi ayu seperti kali terakhir mereka bertemu di taman permainan itu. Hanya beberapa langkah lagi dia akan sampai di seberang sana sebelum dia tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi brek mengejut dari sisi kirinya. Bobo pandang kiri, sebuah motosikal double R warna hitam sedang meluncur laju ke arahnya. Tayar belakang motosikal itu kelihatan berasap akibat daripada tekanan brek yang mengejut bagi memberhentikan momentum pergerakan motor itu. Bobo dengan pantas cuba mengelak ke belakang. Dasar mat rempit petang-petang damai pun mahu bawa motor gaya Rossi. Sebelum sempat Bobo mengambil nafas tiba-tiba sebuah kereta yang sedang dipandu remaja budak sekolah tanpa lesen telah menghentam dia daripada sisi kirinya gara-gara cuba mengelak mat rempit yang berhenti mengejut tadi.

Bobo tercampak beberapa meter ke belakang. Sungguh sakit rasanya, beberapa tulang rusuk kirinya dirasakan patah dan Bobo rasa ada cecair panas mengalir dari kepalanya. Dia mula berpinar dan penglihatan mulai samar. Dan dari kejauhan itu dia ternampak Mimi sedang melihat ke arahnya. Entah dari mana datangnya kekuatan dirinya, dia bingkas bangun dan berjalan ke arah Mimi. Rusuk yang patah sudah tak dipedulikan. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu namun mengenangkan Mimi dia gagahkan jua. Badannya semakin lemah, penglihatannya mulai kabur dan sebelum dia sedar dia sudah terbaring kaku di atas jalan raya itu, memandang tepat ke arah Mimi.

Bobo rasakan nyawa yang hampir ke penghujung itu mulai ditarik perlahan-lahan. Mimi yang sedari tadi melihat ke arahnya tiba-tiba berpaling dan berjalan pergi. Bobo jadi kaget, dalam kesakitan itu dia cuba memanggil nama kekasih hatinya itu namun hampa, Mimi terus berpaling pergi ke arah Black yang sedang menanti di tepi taman permainan itu. Sial! Rupanya segala apa yang diceritakan itu ternyata benar. Bobo semakin lemah, dan dia terbaring kaku di situ tanpa dipedulikan sesiapa. Dia mati tatkala hatinya hancur melihat pemergian kekasih hatinya yang selama ini di anggap setia.

Tapi Bobo tidak perlu risau, dia masih punyai 8 lagi nyawa untuk membalas dendam kelak. Akan dia pastikan Mimi menjadi miliknya kembali. Dan Black, si kucing persis jaguh kampung itu akan dia tumbangkan. Dia lejen di sini, bukan Black. Dan Bobo adalah seekor kucing parsi putih yang lejen.

No comments: