Thursday, 29 December 2011

Monolog # 1

Sepanjang aku hidup, aku telah ditemukan dengan ramai wanita-wanita yang hebat. Mungkin Tuhan mahu mengajar aku menjadi hebat. #Hero.

Berlari mencari matahari tapi akhirnya aku tersesat mencari bintang. [gambar hiasan]

Wednesday, 28 December 2011

Bintang # 1

Aku cuba mengejar bintang yang jauh,
Sehinggakan aku lupa dengan apa yang ada di hadapan.
Aku akui aku bodoh,
Dan sekarang aku hampir kehilangan sayap untuk terbang itu.
Aku rasa aku antara manusia yang paling bodoh di dunia.
Tapi apa yang aku mampu lakukan?
Semua itu ternyata di luar kemampuan aku.
Bintang bercahaya malap,
Semakin lama semakin kelam.
Dan tiba-tiba ianya terang kembali,
Kembalikan cahaya ke dalam diri ini,
Yang dahulunya tercari-cari ke mana hilangnya cahaya.
Dan kini, setelah lama ianya terang,
Aku nampak bintang mulai pudar kembali.
Cuma apa yang aku harapkan,
Janganlah pudar dan kelam seperti dahulu.
Dan aku, akan terus menjadi Hero!

p/s: Bintang, semoga kau terus bercahaya.

Monday, 26 December 2011

Hero # 1

Cinta itu tidak boleh diukur dengan angka, juga dengan material.
Cinta itu adalah satu perasaan, satu kepercayaan spiritual,
Kau percaya wujudnya cinta, maka kau percaya wujudnya Tuhan,
Kau sentiasa mencari cinta, mencari jalan pulang.
Aku dulu pernah tenggalam, hampir lemas dan hanyut dibawa derita,
Dan dalam saat lemas itu aku nampak kamu juga sedang lemas jauh,
Aku kumpulkan kekuatan, aku kumpulkan kudrat diri,
Menarik kita berdua ke daratan realiti,
Aku sendiri jatuh mahu parah namun kau lebih parah aku rasa,
Jadi aku lupakan luka dan ubati kau, menjaga dan melindungi,
Dan aku mula lupakan luka dalam diri dan cuba mendaki harapan,
Aku lukiskan kisah kita di atas awan, aku cacahkan namamu di atas hati,
Aku berlari mengejar langit yang di atas sana ada bintang malam,
Dan kita sentiasa melihat bintang itu bersama, bermimpi untuk tiba ke atas juga.

Tapi aku lupa, lupa pada luka yang semakin teruk berdarah,
Lupa pada hati yang mahu minta diubati,
Lupa pada apa yang jiwa ini jeritkan,
Aku lupa, leka dan alpa sehingga kini.

Aku sakit tapi bukan kerana luka,
Aku pendam kerana tak mahu menyakiti kau,
Aku jadi seorang Hero yang kalis segalanya,
Aku mahu melindungi apa yang mampu aku lindungi,
Aku mahu ubati semua luka yang tersisa,
Dan akhirnya aku kandas sendiri dalam perjuangan yang tak pasti,
Aku seorang Hero yang gagal dalam cinta, gagal selami ertinya.

Thursday, 22 December 2011

Buat #myfuturewife.

Buat #myfuturewife, saya akui saya seorang manusia beku yang bukan hanya beku di hati tapi juga di jemari. Saya tak mampu untuk memainkan sebarang alatan musik. Jiwa seni saya wujud di jemari yang kaku, hanya untuk menekan butang shutter kamera bagi merakamkan saat indah kita bersama kelak. Tapi hati saya memberontak, saya sukakan musik, lirik lagu, melodi dan pengatur-caraan musik. Jadi buat awak #myfuturewife, saya akan berusaha untuk belajar bermain piano/keyboard. melodi yang terhasil dari tarian jemari itu sungguh merdu, dan saya ingin berkongsi kegembiraan perasaan itu dengan awak.

Ini adalah lagu pertama yang akan saya mainkan buat awak, tapi bukan dalam masa terdekat ini ya? Seperti status saya di mukabuku.

"Buat #myfuturewife, saya nak belajar main piano dan nanti saya akan mainkan lagu Kiss The Rain buat awak sebelum propose pada awak. Romantis kan?"


p/s: Buat #myfuturewife, Assalammualaikum. =)

Wednesday, 21 December 2011

Love # Proposal Video

Beberapa hari lepas aku dapat satu kiriman ringkas dari salah seorang sahabat aku yang berbunyi lebih kurang seperti begini.

"Can you do me a favor? Tolong aku buatkan satu video untuk propose si dia."

Berfikir punya berfikir aku rasa selama ini aku buat video atau lebih tepat lagi cuma guna Media Movie Maker dengan menggabungkan gambar, lagu dan beberapa tulisan. Seperti video ini.


Ada juga yang menggabungkan tulisan, gambar dan video tapi antara yang paling popular adalah seperti di bawah ini.


Video-video proposal dan wedding yang dihasilkan oleh CST Production adalah sangat-sangat cool dan best. Selain daripada gambar semasa perkahwinan, video juga adalah salah satu cara kita mengabadikan memori kita untuk tatapan masa akan datang. Misalnya nanti bila aku dah kahwin dan anak-anak aku dah besar sikit aku akan tunjukkan gambar-gambar semasa pertunangan dan perkahwinan aku kepada dia, dan aku akan cakap "Inilah mama kamu masa kahwin dengan papa, yang sebelah tu dulu bekas skandal papa. Kalau kamu jadi papa kamu pilih siapa?" Okay just joking. Tapi apa yang cuba aku sampaikan adalah gambar, video or even kad perkahwinan kau akan menjadi memori untuk dikenang sepanjang hayat kau unless kau planned nak kahwin lagi 3-4 kali selepas tu.

Dan isi adalah video stop-motion picture yang aku rasa sangat awesome, juga boleh menggantikan dua video di atas kerana menggunakan gambar, tulisan dan lagu cuma bezanya, erm.. Tengok sendirilah ya?


Bagi aku, semua video di atas aku suka. Sebab setiap daripada mereka cuba menggambarkan perasaan masing-masing sewaktu menghasilkan video-video ini. Ada gembira, nervous, dan pelbagai perasaan lain lagi. Setuju? Ada banyak lagi video proposal yang awesome yang boleh kau jumpa di YouTube. Jadi kepada sahabat saya, video bagaimana agaknya yang kau suka? Aku punya suggestion adalah seperti nombor 1 atau nombor 3.

Tuesday, 13 December 2011

Bobo, Mimi dan Black. Cinta Itu Memerlukan Pengorbanan.

Cinta itu memerlukan pengorbanan.

Bobo berlari-lari anak sewaktu melintasi jalan raya untuk ke taman permainan berdekatan rumahnya. Itu adalah jalan paling singkat dan paling merbahaya pernah wujud untuk ke taman permainan itu. Pada mulanya dia agak teragak-agak untuk menggunakan jalan itu ataupun mencari laluan alternatif lain. Namun apabila terlihatkan Mimi yang setia menanti di sebelah jalan sana, Bobo mula kuatkan hati dan dengan sepenuh kudratnya mula melangkah melintasi jalan yang mulai sibuk itu.

Sampai di pertengahan jalan, Bobo berehat sebentar di atas pembahagi jalan yang diwarnakan hitam putih itu. Dia memandang ke sebelah sana, Mimi masih setia menanti kehadirannya. Dia tersenyum tatkala Mimi melihatnya dengan penuh kerisauan.

"Dia risaukan aku, dia masih sayangkan aku lagi rupanya." monolog Bobo.

Dia yang mengajak Mimi untuk bertemu di taman permainan itu, tempat mereka selalu berjumpa hampir setiap petang sebelum dia mendapat tahu Mimi di belakangnya senyap-senyap selalu berjumpa dengan Black semasa dia tiada di rumah. Dan hari ini dia nekad mahu menemui Mimi dan meminta penjelasan. Dia akui dia masih sayangkan Mimi, dan dia tidak mahu mempercayai sebarang gosip-gosip liar sebelum mendapat kepastian yang sahih daripada kekasih hatinya itu.

Hanya tinggal beberapa meter lagi, lalu dengan langkah yang sejuk (baca: cool) Bobo mula melintas jalan yang separuh untuk mendapatkan Mimi. Dari jauh dia melihat Mimi sedang tersenyum menanti kehadirannya. Dia masih lagi ayu seperti kali terakhir mereka bertemu di taman permainan itu. Hanya beberapa langkah lagi dia akan sampai di seberang sana sebelum dia tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi brek mengejut dari sisi kirinya. Bobo pandang kiri, sebuah motosikal double R warna hitam sedang meluncur laju ke arahnya. Tayar belakang motosikal itu kelihatan berasap akibat daripada tekanan brek yang mengejut bagi memberhentikan momentum pergerakan motor itu. Bobo dengan pantas cuba mengelak ke belakang. Dasar mat rempit petang-petang damai pun mahu bawa motor gaya Rossi. Sebelum sempat Bobo mengambil nafas tiba-tiba sebuah kereta yang sedang dipandu remaja budak sekolah tanpa lesen telah menghentam dia daripada sisi kirinya gara-gara cuba mengelak mat rempit yang berhenti mengejut tadi.

Bobo tercampak beberapa meter ke belakang. Sungguh sakit rasanya, beberapa tulang rusuk kirinya dirasakan patah dan Bobo rasa ada cecair panas mengalir dari kepalanya. Dia mula berpinar dan penglihatan mulai samar. Dan dari kejauhan itu dia ternampak Mimi sedang melihat ke arahnya. Entah dari mana datangnya kekuatan dirinya, dia bingkas bangun dan berjalan ke arah Mimi. Rusuk yang patah sudah tak dipedulikan. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu namun mengenangkan Mimi dia gagahkan jua. Badannya semakin lemah, penglihatannya mulai kabur dan sebelum dia sedar dia sudah terbaring kaku di atas jalan raya itu, memandang tepat ke arah Mimi.

Bobo rasakan nyawa yang hampir ke penghujung itu mulai ditarik perlahan-lahan. Mimi yang sedari tadi melihat ke arahnya tiba-tiba berpaling dan berjalan pergi. Bobo jadi kaget, dalam kesakitan itu dia cuba memanggil nama kekasih hatinya itu namun hampa, Mimi terus berpaling pergi ke arah Black yang sedang menanti di tepi taman permainan itu. Sial! Rupanya segala apa yang diceritakan itu ternyata benar. Bobo semakin lemah, dan dia terbaring kaku di situ tanpa dipedulikan sesiapa. Dia mati tatkala hatinya hancur melihat pemergian kekasih hatinya yang selama ini di anggap setia.

Tapi Bobo tidak perlu risau, dia masih punyai 8 lagi nyawa untuk membalas dendam kelak. Akan dia pastikan Mimi menjadi miliknya kembali. Dan Black, si kucing persis jaguh kampung itu akan dia tumbangkan. Dia lejen di sini, bukan Black. Dan Bobo adalah seekor kucing parsi putih yang lejen.

Thursday, 8 December 2011

Life # Selamat Hari Lahir!

Aku lihat Swatch hitam yang kemas di pergelangan tangan. Jam menunjukkan tepat 10:49 minit malam. Hanya kurang daripada dua jam kita akan bersama untuk tahun yang ke tiga pula. Senyum. Aku sayangkan jam ini, antara hadiah yang paling aku hargai sekali. Daripada seseorang yang tersenarai di dalam senarai 10 orang terpenting hidup aku.

Selamat hari lahir Swatch hitam, dan selamat hari lahir pada aku dalam masa satu jam sepuluh saat lagi.

p/s: Aku nak kamera baru, agak-agak dapat tak? Hahaha, in your dream!

Wednesday, 7 December 2011

Wordless Wednesday # Taufiq & Nadia

Hai, kembali menulis setelah beberapa ketika. Maaf jika ada yang ternanti-nanti aku untuk mengemaskini blog. Aku sangat-sangat sibuk sejak dari minggu lepas. Dan aku rasa aku lebih banyak habiskan masa di pejabat daripada di rumah. Kalau kerja dah 16 jam, 2 jam perjalanan pergi balik rumah ke tempat kerja, jadi hanya tinggal baki 6 jam dalam sehari untuk tidur, bangun dan kembali bersiap ke tempat kerja. Tahu apa perasaan aku? Ya, sangat terfaktab. Mell pun aku tak dapat nak sentuh, cerita-cerita yang aku muat-turun (baca : download) juga masih tersimpan rapi di dalam cakera keras (baca: hard disk). Okay, cukup rasanya alasan untuk aku berikan bagi menceritakan yang aku sangat-sangat sibuk.

Hari Rabu (Wordless Wednesday) adalah hari yang biasa semua blogger mengemaskini (baca: update) blog masing-masing dengan gambar-gambar dari Tumblr dan mana-mana enjin carian di alam maya ini. Motif? Biarkan gambar yang bercerita menggantikan lisan dan penulisan. Bagi aku, kalau aku nak letak gambar hari-hari ataupun aku nak menulis hari-hari (jika berkesempatan) itu terpulang pada aku. Kan? Sebab ini adalah blog aku. #Ketawa agak sinis. Tapi jangan risau, aku masih lagi mengikuti aliran arus masa dunia (baca: trend) blogging. Jadi hari ini aku akan kongsikan sebuah gambar daripada koleksi simpanan peribadi aku. Enjoy!

(Nikon D3000 18-55mm F5.6 1/200 sec. ISO 100) Lokasi: Putrajaya


p/s: Gambar ini telah diubahsuai (baca: edit) semula oleh saya berbanding gambar yang ada di laman sosial mukabuku saya. Sekian.

Thursday, 1 December 2011

Life # From Penang With Love

Aku rindukan Penang, terlalu rindukan negeri sebelah utara itu. Aku tak tahu kenapa, tapi yang pasti sejak dari hari pertama aku pulang ke Kuala Lumpur aku tertinggalkan sesuatu di sana. Kenangan, memori dan hati aku. 3 tahun di sana sudah cukup untuk aku jatuh hati, sudah cukup untuk aku teruskan bermimpi pulang kembali ke sana. Penang, aku akan kembali ke sana, itu janji aku!

Pantai Bersih 2009