Friday, 4 November 2011

Life # Melarikan Diri Daripada Masalah, Itu Digelar Pengecut!

Melarikan diri daripada masalah adalah tindakan seorang pengecut!



Aku mendongak memandang langit yang semakin merah, ditemani desiran ombak pantai bukanlah sesuatu yang aku perlukan sekarang. Sumpah pengakap aku berdiri di sini dengan harapan kenangan itu akan pergi tapi akhirnya aku gagal. Aku cuba pejamkan mata pula dengan harapan memori itu akan hilang kali ini. Seperti hilangnya mentari di ufuk barat setiap hari.

*****


Sehari yang lepas.

Aku masih lagi berdiri di tempat yang sama, tempat yang sama aku berdiri setiap hari. Kerana hanya di sini aku dapat melihatnya dengan lebih jelas. Sistem LRT di bandaraya Kuala Lumpur ini adalah 10 kali ganda baik daripada Sistem Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang mana terlalu banyak perjalanan tertangguh, lambat dan sebagainya. Hampir setiap kali masa ketibaan keretapi diubah-ubah daripada jam 7:30 pagi hingga ke jam 9:45 pagi. What the fak? Dan disebabkan itu aku berpindah rumah agar lebih dekat ke kolej, dan Sistem LRT ini yang aku gunakan setiap hari untuk berulang dari rumah sewa ke kolej.

Tepat jam 7:30 pagi train akan sampai di stesen LRT Cempaka, dan aku akan memilih gerabak paling akhir dan berdiri berhampiran dengan pintu masuk. Apabila sampai ke stesen Chan Sow Lin, dia akan masuk daripada pintu berhadapan dan juga seperti aku dia akan berdiri berhampiran pintu masuk. Sudah hampir 2 minggu aku melakukan rutin yang sama setiap hari, tapi hampa sebab dia tak pernah perasan tentang aku. Hari ini dia memakai baju kurung biru, dan seperti biasa dia akan sandarkan diri pada dinding gerabak dan membaca buku sambil menanti saat tiba ke destinasi. Aku lihat buku yang dipegangnya, Where the Sidewalks End, dan aku punya pending lama gila sambil memikir-mikir buku apakah yang dibaca gadis misteri di hadapan aku ini.

Tapi aku pintar, ya pintar sebab aku ada teknologi yang sentiasa ada bersama aku. Aku keluarkan Blackberry dari poket seluar, inilah masanya untuk telefon canggih digunakan. Taip dan hasil carian Google dimulakan dan tak sampai 2 minit terpampang di skrin BB aku maklumat tentang buku yang dipegangnya. Buku itu adalah koleksi poems kanak-kanak yang ditulis oleh Shel Silverstein. Maknanya gadis baju kurung biru ni sukakan poems dan mesti ada jiwang-jiwang punya. Romantik dan pandai berkata-kata. Aku rasa aku ada ciri-ciri itu. Senyum. Kali ni aku mesti berusaha dapatkan nama dan nombor telefon dia.

Aku lihat jam tangan, menunjukkan jam 7:50 pagi bermakna aku hanya ada 20 minit lagi untuk mencuba. Quitters never win and winners never quit! Aku cuba mencari peluang untuk mendekati si gadis. Dan apabila tiba di stesen Hang Tuah orang ramai mula berpusu-pusu masuk, aku perlu turun di stesen Sultan Ismail dan ini bermakna masih ada beberapa stesen yang perlu dilalui. Aku berpura-pura memberi ruang pada penumpang lain untuk masuk dan bergerak ke hadapan mendekati si gadis berbaju kurung biru. Dia masih lagi khusyuk membaca tanpa mempedulikan sekelilingnya. Dan seraya aku berjalan mendekatinya aku melihat kembali buku yang sedang dipegang erat, cuba memikir apa yang patut aku utarakan seperti "Hai, awak baca buku Shel Silverstein? Saya pernah baca juga buku dia The Light in the Attic, it is about children's poem right?". Kita kena gunakan cara dan ayat yang betul untuk menarik perhatian dia. Itu yang aku baca dari blog En. K.

Dengan gaya, mutu dan keunggulan aku mendekati si gadis berbaju kurung biru sebelum aku ternampak sesuatu yang bersinar dipanah cahaya matahari yang memasuki melalui cermin gerabak. Jari manis tangan kanan gadis berbaju kurung biru tersarung sesuatu yang sinar bekilau. Emas. Langkah tadi terus mati dan diriku mula diasak para penumpang yang bergegas ingin turun pula. Di dalam kekalutan itu Blackberry yang dipegang kemas di genggaman terjatuh dan menarik perhatian semua mata memandang aku termasuk dia. Dia mengangkat muka memandang aku tatkala aku juga sedang memandang ke arahnya. Dia tersenyum melihat ke arahku. Aku senyum kelat, dan apabila pintu train terbuka di stesen Puduraya aku bergegas melangkah keluar. Memang terfaktab aku rasa. Dan aku dapat lihat raut wajahnya yang penuh tanda tanya melihat senyuman pura-pura aku. Ya, aku tak pandai berbohong dengan body language sendiri.

Aku menapak ke arah hentian Puduraya yang telah menelan belanja RM40 juta duit cukai rakyat dan seiring dengan itu harga tiket-tiket bas juga melambung naik dengan alasan yang pelbagai. Kalau harga naik kemalangan bas dapat dielakkan tak apa juga. Aku menuju ke kaunter Konsortium Bas Express, "Kak, tiket ke Pulau Pinang paling awal satu."

*****

Dan akhirnya di sini aku. Berjalan menyusuri pantai, menanti ketibaan matahari terbenam dengan Mell yang tersangkut di bahu. Sengaja aku berjalan di gigi air supaya ombak yang datang akan membawa pergi duka lara hati ini bersama. Tapi ianya akan terus berulang dan berulang kembali, memori seminggu lepas datang dan pergi. Blackberry aku telah kehabisan bateri, Mell juga hampir-hampir mati kerana aku datang dengan buku nota kelas dan sweater di dalam beg. Dan duit yang ada pada aku cukup untuk aku beli tiket ke Penang dan sarapan pagi tadi. Semua kerana tindakan terburu-buru aku kononnya nak membawa diri membasuh luka di hati. Waklu!

Sekarang macam mana aku nak balik KL?

No comments: